Sejarah Penubuhan
Sejarah penubuhan Kolej Profesional MARA yang merupakan salah satu institusi pendidikan di bawah MARA (IPMa) bermula dengan penubuhan Institut Perdagangan MARA (IPM) bertempat di bangunan MARA (lama), Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 16 Julai 1993. Kemudian, institusi ini berpindah ke lokasi di Jalan Hang Tuah, Melaka pada bulan Jun 1994 dan mula dikenali sebagai IPM Melaka.
Pada awal penubuhannya, dengan staf akademik seramai 6 orang, IPM Melaka telah menawarkan kursus-kursus LCCI dan Matrikulasi ICSA. Bersesuaian dengan objektif penubuhannya untuk melahirkan profesional Bumiputera terlatih, IPM Melaka kemudiannya mengendalikan kursus-kursus GNVQ (General National Vocational Qualification) dan kursus persediaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Penstrukturan baru program akademik turut dilaksanakan bertujuan untuk memantapkan lagi program-program yang sedia ada. Fokus utama program adalah meliputi bidang perakaunan, pengurusan perniagaan, keusahawanan dan teknologi maklumat. Program awal yang dijalankan ialah Diploma in Accountancy (DIA) dan Diploma in Business Studies (DBS).
Seiring dengan penstrukturan baru ini, nama IPM Melaka telah diubah kepada Kolej Profesional MARA (KPM) Melaka pada tahun 1998. Demi memenuhi keperluan perlaksanaan program-program ini, bilangan kakitangan telah bertambah kepada 45 orang yang terdiri daripada 30 orang pensyarah serta 15 orang kakitangan pengurusan dan pentadbiran.
Seterusnya pada tahun 1 Jun 2009 sekali lagi KPM Melaka (KPMM) berpindah ke kampus tetap yang di bina di Ayer Molek, Melaka. Perpindahan ini telah membawa pertukaran nama KPMM ke KPM Ayer Molek (KPMAM), Melaka. KPMAM telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka ketika itu YAB Datuk Seri Hj. Mohd. Ali bin Mohd Rustam pada 21 Mac 2013. Kini KPMAM tersergam indah dengan berkapasiti anggaran 1000 orang pelajar di samping bilangan pensyarah dan staf pentadbiran seramai 103 orang. Pelbagai kejayaan telah dicipta dalam usaha melahirkan guna tenaga profesional negara. Semoga KPMAM terus mengorak langkah sebagai institusi pendidikan terunggul di Malaysia.